KUALA LUMPUR, 17 Mac – Waris penumpang pesawat malang MH370 menerbitkan satu petisyen mendesak agar setiap persoalan yang belum terjawab didedahkan dengan telus.

“The MH370 Search-On Petition” dibuat bertujuan mendesak, mendapatkan sokongan agar operasi mencari pesawat tersebut diteruskan supaya pasukan penyiasat mendapat jawapan terhadap apa yang berlaku ke atas 239 penumpang dalam penerbangan tersebut.

“Kami mahu mendapatkan sokongan sebanyak mungkin agar pihak berkuasa kekal komited untuk mencari dan terus menyiasat sehingga pesawat itu ditemui. Selain daripada itu, misi mencari perlu terus digerakkan dan diperluaskan,” menurut wakil keluarga dalam catatan Facebook “MH370 Families”.

“Masa semakin suntuk. Setiap tandatangan dan sokongan adalah penting buat kami. Terima kasih atas sokongan anda dengan matlamat yang satu iaitu membawa pulang pesawat tersebut,” tambahnya.

Waris mangsa pesawat tersebut mahu agar operasi mencari dan menyiasat diperluaskan dan diteruskan sehingga kebenaran ditemui.

Mereka juga mendesak agar setiap aspek dalam siasatan itu diperhalusi.

Kenyataan berdolak-dalik oleh pihak berkuasa juga perlu dielakkan apabila menjawab setiap persoalan daripada waris mangsa.

“Tanpa bukti jelas dan serpihan ditemui, pihak kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan pesawat tersebut mengalami kemalangan dan tiada penumpang yang terselamat sekaligus menghentikan operasi mencari dan menyelamat.

“Kami tidak menerima laporan tersebut dan tidak akan berhenti berharap sehingga bukti sahih diperolehi,” dalam kenyataan tersebut.

Petisyen tersebut digerakkan oleh kumpulan waris keluarga mangsa MH370, Voice370 sejak empat hari lalu dan ditujukan kepada kerajaan Malaysia, China dan Australia.

Setakat ini, petisyen tersebut telah disokong oleh 247 tandatangan dan akan turut menggerakkan sokongan tindakan daripada pihak berkuasa antarabangsa antaranya International Civil Aviation Organisation (ICAO), Pertubuhan Bangsa Bersatu, FFA dan EASA.

Petisyen tersebut mensasarkan 500 tandatangan diperolehi.

 

SHARE
Previous articleBersantai Bersama Ning Baizura dan Pastry Crown
Next articleHarga Lantai Bakal Diperkenal Tahun Depan – Ismail Sabri