KUALA LUMPUR, 23 April — Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu berkata bagaimanapun jika kes COVID-19 terus mencatat penurunan ketara, kerajaan mungkin memberi kelonggaran secara berperingkat-peringkat.

“Berdasarkan statistik terkini, jumlah pesakit sembuh telah meningkat kepada 3,542 kes iaitu 63.2 peratus keseluruhan pesakit telah sembuh.

“Sekiranya trend penurunan kes berterusan, kerajaan mungkin memberi sedikit kelonggaran,” kata Perdana Menteri pada perutusan yang disiar secara langsung melalui televisyen tempatan malam ini.

Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18 Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

— BERNAMA