Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak) SELAYANG, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Pelbagai pihak khususnya syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan untuk penduduk Selayang Baru yang terkesan setelah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Penyelaras Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak, Mohd Syukran Md Rashid, berkata sumbangan yang berterusan akan memudahkan pihaknya mengagihkan bekalan makanan tersebut kepada penduduk PKPD Selayang Baru.

“Secara keseluruhan semua penduduk yang terdiri warganegara dan bukan warganegara telah menerima bantuan makanan yang diagihkan sejak hari pertama pelaksanaan PKPD Selayang Baru pada 25 April lalu. “Hari ini adalah pusingan kedua agihan bekalan makanan di mana petugas JKM bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Daerah Gombak akan mengagihkan bekalan tersebut ke setiap rumah.

“Kami akan pastikan tiada penduduk yang tercicir dan sumbangan daripada NGO atau syarikat korporat sangat dialu-alukan bagi memastikan bekalan yang berterusan dan memudahkan pihak kami mengagihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan barangan keperluan asas seperti beras, bawang besar, gula, epal dan kicap daripada NSK Trading Sdn Bhd di Selayang Indah, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Panglima 11 Briged, Brigidier Jeneral Norsham Md Tap dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. Sementara itu, Pengarah NSK Trading, Datuk Chiew Lian Keng, berkata pihaknya terpanggil untuk menyumbangkan barangan keperluan asas tersebut kerana berada berhampiran dengan PKPD Selayang Baru.

“Penduduk di sekitar Selayang Baru adalah pelanggan utama di pasaraya NSK dan kami ingin membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD. “Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami dan kerja-kerja amal ini akan diteruskan,” katanya. -NAZ

SHARE
Previous article6,000 Warga Tempatan, 16,000 Warga Asing di PKPD Sekitar Pasar Borong Selayang – Annuar Musa