KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang dipersembahkan hampir 18,000 peserta di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Menurut Najib, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini pasti tidak akan dilupakan seluruh rakyat Malaysia.

“Tahun ini merupakan tahun yang cukup unik, istimewa dan bersejarah kerana Malaysia berjaya menyusuri perjalanan 60 tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Betapa sukarnya kita nak capai kemerdekaan pada peringkat permulaan. Betapa besarnya cabaran yang ada. Bila lihat sambutan tahun ini, kuta dapat rasa apa yang kita capai selama 60 tahun ini adalah kejayaan yang sangat cemerlang,” ucapnya ketika meninjau persiapan penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Beliau turut menyifatkan generasi muda hari ini sebagai penyambung generasi Transformasi Nasional (TN50) yang akan membawa negara ke peringkat lebih tinggi di mata dunia.

Najib turut berpuas hati dengan persembahan yang disediakan kerana berbekalkan elemen kesusahan sebelum mencapai kemerdekaan, persembahan ini akan menjadi sesuatu yang akan dikenang.

Sambutan yang melibatkan seramai 18, 000 anggota beserta pelbagai aset daripada pelbagai jabatan dan agensi ini dijangka berlangsung dalam keadaan penuh memori Khamis ini.

SHARE
Previous articlePPR Lembah Subang 2 : 596 Peserta Terima Kunci
Next articleSambutan Hari Kebangsaan Disambut Meriah