SUNGAI UDANG – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan RM61.5 juta bagi membina tapak pelupusan sampah baharu di sini.

Usaha yang sekaligus menyelesaikan masalah kekurangan tapak pelupusan sampah di Melaka itu diumumkan oleh Menterinya, Tan Sri Noh Omar semasa mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan, hari ini.

Katanya, pembinaan tapak pelupusan sampah itu akan melibatkan empat sel membabitkan keluasan keseluruhan 8.9 hektar yang mana pembinaannya telah pun dimulakan dengan sel pertama membabitkan peruntukan RM16.5 juta.

“Bagi fasa kedua iaitu membabitkan sel kedua dan ketiga, kita jangkakan ianya dapat beroperasi pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM45 juta. Pembinaan sel yang keempat pula akan dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang juga turtu menyatakan KPKT merancang untuk membangunkan sistem insinerator dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, pembangunan sistem itu dibuat selaras dengan perancangan jangka masa panjang selari dengan pertambahan penduduk termasuk pembangunan kawasan-kawasan baharu pada pasa depan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memaklumkan bahawa sebuah tapak pelupusan sampah baharu bakal dibina di kawasan Sungai Udang di sini bagi menampung jumlah sisa pepejal dari seluruh Melaka ekoran tapak pelupusan sampah sedia ada telah mencapai tahap maksimum.

SHARE
Previous article‘Stretcher Lift’, Kad Akses, CCTV Antara Penambahbaikan Rumah PPR – Noh Omar
Next articleRumah PPR Untuk Golongan Pertengahan