KUCHING, 21 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan tidak mungkin dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

Beliau berkata ini berikutan banyak lagi Rang Undang-undang kerajaan perlu dibentangkan pada sidang Parlimen (Dewan Rakyat) kali ini yang akan berakhir 9 April hadapan.

“Saya difahamkan Speaker Dewan (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) sudah menerima Rang Undang-undang Persendirian mengenai hudud ini, tetapi belum tahu sama ada akan dibentangkan atau tidak.

“Kerana banyak bill (RUU) kerajaan seperti rang undang-undang khas untuk menangani ancaman militan termasuk kumpulan IS akan dibentangkan pada persidangan kali ini.

“Jadi kita tidak tahu ada masa yang cukup atau tidak untuk dibentangkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak, di sini Sabtu.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.

Sementara itu, anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 atau hukum hudud itu terutama maksud dan konsepnya perlu diperjelas dengan mendalam kepada orang bukan Islam.

“Secara peribadi saya menyambut baik hukum hudud itu di kerana sebagai orang Islam kita harus akur pada peraturan yang telah ditetapkan oleh agama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan UMNO Secara Berkelompok Zon Kalabakan/Luasong, Brumas di Tawau.

Menurutnya, hukum hudud tiada kaitan dengan masyarakat bukan Islam dan mereka juga tidak menerima sebarang kesan apabila hukum itu dilaksanakan.

SHARE
Previous articleChristoph Mueller ambil alih tugas CEO MAS 1 Mei ini
Next articleMusa Cadang Kerajaan Pusat Tambah Kuota PPR Kepada 3,000 Unit Setahun