KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan usul bagi menambah DUN Sabah daripada 60 kepada 73 kawasan DUN.

Usul itu diluluskan setelah mendapat sokongan semua 158 yang hadir dalam perbahasan yang melibatkan Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri  Mohd Shafie Haji Apdal dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat berkata, penambahan kerusi akan membolehkan suara, permasalahan dan isu-isu rakyat di kawasan terpencil dapat diwakili dengan lebih berkesan.

Pada masa sama, ia turut dapat melancarkan pengurusan di samping pentadbiran yang efisien di kawasan-kawasan DUN baharu yang terlibat.

“Walaupun terdapat kawasan di Sabah yang tidak mempunyai ramai pengundi, namun ia penting bagi memastikan mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Terdapat kes-kes tertentu di mana rakyat tidak dapat mengundi kerana apabila sampai di pusat pengundian, ia telah ditutup kerana waktu pengundian telah tamat,” katanya.

Melalui persempadanan baharu, DUN Sabah mendapat 13 kerusi tambahan iaitu Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Penambahan kerusi DUN itu akan menyaksikan enam kerusi majoriti penduduk Islam, dua kerusi majoriti bumiputera bukan Islam dan satu kerusi majoriti Cina. Empat lagi adalah kerusi campuran.

Kerusi majoriti pengundi Islam itu adalah Pintasan (di bawah Parlimen Kota Belud), Tanjung Dumpil (Putatan), Pantai Dalit (Tuaran), Sungai Manila (Libaran), Lamag (Kinabatangan) dan Kukusan (Kalabakan).

Dua kerusi majoriti bumiputera bukan Islam pula adalah Dambai (Papar) dan Tulid (Pensiangan). Empat kerusi campuran berkenaan adalah Bengkoka (Kudat), Darau (Sepanggar), Telupid (Beluran) dan Mengaris (Kota Marudu).

Sementara kerusi tunggal majoriti Cina adalah DUN Segama di Silam.

Di peringkat negeri, DUN Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada Ogos 2016.

Sabah adalah negeri yang luas, dengan taburan penduduk sederhana dan sememangnya memerlukan penambahan kerusi DUN.

N.02 – Bengkoka (Kudat)
N.06 – Mengaris (Kota Marudu)
N.08 – Pintasan (Kota Belud)
N.13 – Pantai Dalit (Tuaran)
N.17 – Darau (Sepanggar)
N.24 – Tanjung Dumpil (Putatan)
N.27 – Dambai (Papar)
N.44 – Tulid (Pensiangan)
N.47 – Telupid (Beluran)
N.51 – Sg. Manila (Libaran)
N.58 – Lamag (Kinabatangan)
N.61 – Segama (Silam)
N.70 – Kukusan (Kalabakan)

SHARE
Previous articleMana Azmin, Kami Mahu Jumpa – Penduduk
Next articleIkrar Sultan Abdullah Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16