KUCHING: Lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan 2019 pada 16 September ini ditukar dari Padang Merdeka ke Stadium Perpaduan, ekoran daripada keadaan cuaca berjerebu yang menjejaskan bandar raya ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara yang pada asalnya diadakan di Padang Merdeka itu bagaimanapun ditukar tempat ke Stadium Perpaduan selepas jawatankuasa penganjur mengadakan mesyuarat pada Selasa malam.

“Selepas diberi taklimat oleh Jabatan Meteorologi, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai situasi jerebu, kita tiada pilihan tetapi memilih lokasi penganjuran baharu iaitu di Stadium Perpaduan kerana melibatkan isu kesihatan.

“Ia diramalkan bahawa masalah jerebu akan berterusan sehingga akhir September dan buat masa ini didapati terdapat lebih daripada 100 titik panas yang dikesan di Kalimantan, Indonesia.

“Lebih teruk lagi arah angin masih bergerak menuju ke Sarawak dan sehingga itu ia tidak sesuai untuk kita mengadakan acara Hari Malaysia di Padang Merdeka,” katanya pada sidang media di Hornbill Skyways di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan memberitahu, apa yang penting adalah penganjur tidak harus menjadikan kesihatan orang ramai berisiko sekiranya indeks pencemaran udara mungkin meningkat sehingga lebih daripada bacaan 200.

Katanya bagaimanapun pihak penganjur akan terus berusaha untuk memastikan bahawa sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan yang bermula pada pukul 7 malam itu dengan jayanya.

“Acara-acara utama sambutan di Stadium Perpaduan masih sama seperti yang telah kita rancang untuk di Padang Merdeka.

“Saya amat menyanjung kerjasama yang telah dilakukan semua pihak termasuk pegawai-pegawai kerajaan khasnya yang telah membuat persiapan di Padang Merdeka sebelum ini tetapi terpaksa bertukar tempat,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa persiapan di Padang Merdeka untuk sambutan telah mencapai 80 peratus dan ada di antara yang membuat persembahan telah melakukan latihan selama tiga minggu di tempat berkenaan.

Sumber : Utusan Borneo