KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan khabar angin yang mengatakan beberapa Ahli Parlimen BN terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menegaskan tiada siapapun yang dihubungi berkenaan khabar angin itu.

“Ini ialah cerita rekaan yang langsung tidak benar. Tak ada siapapun Ahli Parlimen BN yang dihubungi atau menghubungi mana-mana pihak dalam soal itu”. katanya lagi.

Bercakap dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini, beliau berkata tuduhan berkenaan sangat serius dan mencemarkan imej individu yang didakwa sebagai terbabit dalam komplot itu.

“Plot yang dikatakan itu tidak membabitkan Ahli Parlimen BN yang saya tahu dan amat maklum sikap serta pendirian mereka,” katanya.

Beliau berkata dakwaan tersebut mula tersebar dari sebuah facebook dan blog bernama ‘Kopi Panas’ yang mula menuduh dan memetik nama-nama ahli parlimen BN tanpa bukti.

“Tiada sesiapa pun dari kalangan ahli parlimen BN yang tidak menyokong kepimpinan kerajaan dan perdana menteri, kami semua memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada perdana menteri. ” Jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, Shahrir Samad berkata pihaknya akan segera bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Terdahulu Zahid Hamidi mengesahkan wujud gerakan tersusun untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, gerakan itu diketuai seorang tokoh UMNO dan mereka dengan kerjasama pembangkang kini dalam proses menyiapkan memorandum untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

 

 

SHARE
Previous articlePersidangan perwakilan UMNO platform penting suarakan idea – Muhyiddin
Next articleOne Tiger of Asia, grand final MIMMA Oktober ini