KOTA KINABALU – Kontraktor yang dilantik wajib menyiapkan kesemua projek pembangunan negeri yang dirancang mengikut jadual serta menepati standard kualiti ditetapkan. Langkah itu perlu bagi mengelak kelewatan dan kegagalan sesuatu projek itu yang akhirnya dikhuatiri mengakibatkan usaha kerajaan menyediakan kemudahan untuk rakyat tergendala disebabkan kerenah pihak kontraktor.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, tiada alasan kelewatan atau penundaan yang boleh diterima apatahlagi sekiranya peruntukan telah pun disalurkan bagi melaksanakan projek itu.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kes kelewatan projek kerana segalanya sudah ditetapkan dalam pelan yang dirancang dan inisiatifnya disediakan sendiri oleh kerajaan. Kesannya adalah pada rakyat yang sepatutnya menikmati manfaat daripada enam projek pembangunan telah dirancang kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) di Kibabaig, Penampang, dekat sini.

“Tanggapan awal ini sangat penting. Aspek keselamatan, kebersihan dan keteraturan dalam bandaraya Kota Kinabalu perlu diberikan penekanan, selain landskapnya juga wajar diambil kira.” ujarnya. Mengenai kewujudan beberapa bangunan komersial seperti pusat beli-belah di bandaraya Kota Kinabalu pada masa ini, Musa berkata, ia secara tidak langsung telah menimbulkan keadaan kesesakan jalan raya di sekitar ibu negeri.

“Saya telah mengarahkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyediakan pelan untuk mengatasi isu berkaitan pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas. Saya berharap pelan ini menampakkan hasilnya nanti,” ujarnya.

Selain memastikan Kota Kinabalu bersih dan selamat, Musa menjelaskan, kerajaan juga mengambil berat tentang menyediakan perumahan mampu milik bagi penduduk yang tinggal di bandar.

“Saya tahu dengan kenaikan harga hartanah, penduduk yang tinggal di bandar raya ini mendapati ia semakin sukar untuk mendapatkan rumah,” katanya. Musa berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan taklimat yang diberikan, namun menambah bahawa ada ruang untuk penambahbaikan.

“Saya gembira mendengar bahawa Penampang juga mendapat bahagian pembiayaan mereka bagi pembangunan infrastruktur,” jelasnya sambil menambah kerajaan memberi perhatian akan pembangunan rakyat tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar atau di pinggir bandar.

 

SHARE
Previous articleBNBBC Sokong Kepimpinan Najib
Next articleBoustead Sedia RM700j Perbelanjaan Modal Tahun Ini