Oleh: M. Z Awe

SELAYANG, 15 Nov – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Muhd Taib berkata Umno merupakan parti yang memperjuangkan rakyat khasnya orang melayu sejak selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Sejak merdeka hingga kini, Umno yang memikirkan cara memajukan orang Melayu dengan menubuhkan Felda, Felcra, Mara, Risda dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sehingga orang Melayu dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Taib kembali menyertai Umno pada September lalu, berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum yang dihadiri lebih 200 orang anjuran Umno Negeri Selangor di Kuang, semalam.

Jelas beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memajukan negeri Selangor bermula zaman Datuk Abu Bakar Baginda, Datuk Harun Idris sehingga ke zaman Mohamad Khir Toyo, parti tersebut yang memacu pembangunan sehingga mencapai tahap Negeri Maju pada 2005, iaitu 15 tahun mendahului sasaran Malaysia.

“Sekarang masanya orang Melayu perlu kembali menyokong Umno di Selangor kerana Pakatan Harapan (PH) yang ditadbir Azmin tidak menjaga nasib orang melayu, sehingga mereka menutup Yayasan Selangor yang ditubuhkan bagi meningkatkan pendidikan anak-anak orang Melayu,” ujarnya.

Tambah Muhammad, Yayasan Selangor yang dahulunya memperuntukkan seramai 400 pelajar Melayu kawasan luar bandar setiap tahun, bagi membantu meningkatkan pendidikan mereka kini dinafikan hak dan tiada pembelaan.

Ketika ditemui pemberita, beliau memaklumkan bekas-bekas Menteri Besar Selangor telah berjumpa dengan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan secara umumnya menyatakan keperluan untuk bersatu membantu BN merampas semula Selangor.

“Ini merupakan satu keperluan supaya Umno dan BN dapat meneruskan usaha-usaha menjaga orang melayu terutama di kawasan bandar seperti Klang, Shah Alam, Petaling, Serdang, Puchong sehingga ke Keramat,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, kawasan tersebut dahulunya merupakan bekas kawasan setinggan tetapi di bawah pemerintahan PH, kawasan ini seolah-olah dianaktirikan kerana tidak ada program langsung dan begitu ketinggalan dari segi sosial, masalah kesesakan dan moral.

“Tan Sri Khalid Ibrahim yang dijatuhkan untuk diganti dengan Azmin Ali, turut bersedia untuk berkongsi pentas dengan BN kerana yakin masih mempunyai penyokong dan beliau berjanji akan berkerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor yang lain serta Noh Omar untuk memenangkan BN di Selangor,” katanya.

SHARE
Previous articleKPKT Cadang Gubal Akta Kebenaran Iklan Jualan Perumahan
Next articleMana Azmin, Kami Mahu Jumpa – Penduduk