PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia bagi menjalankan aktiviti berkaitan pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata menerusi peruntukan berkenaan menunjukkan kerajaan sentiasa membela nasib pesara kakitangan awam dan mengambil berat kepentingan serta kebajikan mereka.

“Bila ekonomi bertambah, hasil negara juga bertambah, kita boleh tampung pertimbangan sama ada untuk tambah elaun atau kaji semula gaji bagi kakitangan awam, kalau tidak ada hasil amat sukar untuk lakukan pertimbangan sedemikian.

“Kalau hasil bertambah kebajikan penjawat awam sentiasa diambil kira kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, di sini.

Pada majlis itu, kira-kira 800 hadirin berdiri sambil melaungkan sokongan padu terhadap perdana menteri. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Sementara itu, Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO melahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan itu.

“Walaupun saya tahu, nak dapat sokongan 100 peratus, realitinya memang sukar sebab ada pesara yang masuk tiket lain tetapi sebahagian besar adalah penyokong setia kerajaan,” katanya.

 

SHARE
Previous articleLiverpool Tewaskan Newcastle
Next articleNajib Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam